Tanggungjawab Suami (1) – Tanyalah Ustaz
Ustaz Dato Abu Hassan Din Al-Hafiz
Bacaan ayat 34, surah An-Nisa’:
Daripada dapatan kajian, didapati punca perceraian adalah jahil peranan dan tanggungjawab masing-masing. Dalam satu hadis, Nabi SAW yang ringkasannya bermaksud - hak perempuan daripada suami:
- Beri makan kepada isteri apabila dia makan
- Beri pakaian apabila dia berpakaian
- Jangan sekali-kali pukul wajahnya
- Jangan menghina dengan gelaran
- Jangan tinggalkan isteri keseorangan. Oleh itu, tidak sepatutnya berlaku kes-kes ‘gantung tak bertali’ atau ‘salai tak berapi’ dalam Islam.
Sebagai kesimpulan, tanggungjawab suami kepada isteri terbahagi kepada tiga aspek:
- Fizikal – menjaga kesihatan, keselamatan, kehormatan isteri
- Material – keperluan material isteri perlu disediakan oleh suami
- Spiritual – memimpin persoalan ibadat dan ketaqwaan isteri
Senarai soalan dan jawapan:
S: Bagaimana jika suami tidak berpendapatan tetap sedangkan isteri berpendapatan lumayan?
J: Dalam Islam tidak diwajibkan untuk seorang isteri membelanjakan hartanya untuk suami dan anak-anak. Tetapi tidak wajib tidak bermakna tidak boleh dilakukan. Ulama juga mengharuskan untuk isteri memberi hutang kepada suami, namun biasanya isteri tidak berkira dengan suami dan keluarga. Oleh itu, sebelum kahwin, suami perlu memastikan dirinya mampu fizikal dan material.
S: Bagaimanakah bentuk pukulan yang diharuskan dalam Islam?
J: Hanya isteri yang nusyuz sahaja boleh dipukul. Jika sampai tahap terpaksa, baru pukul. Itupun dengan pukulan yang tidak mencederakan atau memberi kesan kepada fizikal isteri.
S: Jika suami tidak mampu dan isteri minta benda yang pelik-pelik. Adakah suaminya akan dianggap tidak bertanggungjawab?
J: Dalam surah At-Talaq, ayat 7, Allah berfirman yang bermaksud:
Oleh itu, setiap orang perlu berbelanja mengikut kemampuan mereka. Jika suami tidak mampu, isteri perlu lebih memahami dan tidak menjadi penyebab suami terpaksa berhutang atau lebih teruk lagi mengambil rasuah.
S: Bagaimana tanggungjawab suami jika pasangan tinggal bersama keluarga isteri atau suami?
J: Jika isteri merelakan, tiada masalah. Namun jika isteri ingin pindah keluar, suami wajib mencari tempat tinggal lain.
S: Suami bertanggungjawab atas keselamatan isteri, namun banyak berlaku kes yang sebaliknya. Apa pandangan ustaz?
J: Betul, banyak kes suami memukul isteri yang dilaporkan kepada pihak berkuasa. Suami sebegini ialah suami yang tidak bertanggungjawab dan tidak amanah kepada Allah. Akad ‘Aku terima nikahnya’ mempunyai maksud yang lebih mendalam iaitu kesanggupan mengambil amanah daripada Allah untuk menjaga isteri seperti yang dikehendaki Allah. Jika isteri sebagai amanah daripada Allah, kenapa sanggup dipijak, dipukul dan diterajang? Jika berlaku juga kes sebegini, ulama menyatakan harus untuk isteri meminta agar difasakhkan. Oleh sebab itu, Islam menyediakan kaedah bertunang. Tujuannya adalah untuk mengkaji perangai bakal pasangan. Kajian perlu dilakukan dengan bertanya kepada rakan-rakannya, bukannya dengan keluar berdua-duaan. Jika bertunang dan mendapati ada perkara yang tak disenangi, putuskan pertunangan dan cari yang lain.
S: Kebanyakan suami biar saja isteri keluar dengan sesiapa sahaja sehingga kadang-kadang pulang lewat malam. Apa pandangan ustaz?
J: Betul, ada suami yang tidak kisah isterinya keluar ke mana atau dengan siapa. Suami sebegini ialah suami yang dayus. Dayus bermaksud suami yang membiarkan kehormatan isterinya tercemar. Nabi SAW ada bersabda berkaitan suami yang dayus yang bermaksud: “3 jenis manusia yang Allah amat benci sehingga Allah tidak pandang di hari akhirat ialah: anak yang derhaka ibu bapa , wanita yang menyerupai lelaki, dan suami-suami yang dayus”. Oleh itu, suami perlu lebih bertanggungjawab. Hari ini ada berlaku kes di mana suami mengizinkan isterinya berkongsi kereta dengan lelaki bukan mahram untuk ke tempat kerja. Perkara ini tidak boleh dibiarkan, kerana apabila berdua-duaan, yang ketiga adalah syaitan.
S: Salahkah suami yang tidak dapat mendidik isterinya menjadi solehah?
J: Suami perlu berusaha sedaya-upaya. Dalam surah At-Tahrim,ayat 10, Allah memberi contoh isteri yang ingkar di bawah bimbingan Nabi Nuh. Suami perlu berusaha sedaya-upada terlebih dahulu. Jika tidak berjaya, suami tidak lagi dianggap bersalah.
SUMBER : Kasih Nabi~
No comments:
Post a Comment